ISRAEL ANCAM OPERASI BERSEKALA BESAR KE ATAS GAZA

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan panglima tenteranya, Aviv Kokhavi mengumumkan yang rejim zionis itu kini memulakan operasi “berskala besar” ke atas wilayah Gaza.

Portal Palestine Post 24 melaporkan pengumuman itu dibuat empat jam selepas rejim Israel membunuh ketua kumpulan Jihad Islam, Bahaa Abul-Ata, yang ketika itu bersama isteri dan anaknya di apartment mereka di timur Gaza City subuh tadi.

Isterinya dilaporkan turut terbunuh.

Susulan pembunuhan pemimpin Jihad Islam itu, kumpulan pejuang Palestin melancarkan roket buatan sendiri ke arah penempatan Israel berdekatan sempadan timur Gaza, yang dikepung rejim sejak 13 tahun lalu.

“Kami memutuskan untuk membunuh Abul-Ata 10 hari lalu,” kata Netanyahu dipetik portal berita itu.

Perdana Menteri Israel itu mendakwa Abul-Ata bertanggungjawab melancarkan roket ke arah Israel.

Rejim zionis juga melancarkan serangan udara bertalu-talu ke atas Gaza.

Kokhavi pula dilaporkan berkata Abul-Ata bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Israel sebelum ini.

“Kami bersedia meningkatkan serangan di darat, laut dan udara,” kata Kokhavi.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya empat maut dan 25 cedera sejak rejim zionis Israel memulakan serangan ke atas Gaza hari ini.

Sehingga artikel ini ditulis, grup aktivis Palestin pula melaporkan angka kematian mencecah lima orang dan lebih 30 cedera dengan pengeboman rejim masih belum tamat. — AlHijrah Online/Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply