GELOMBANG KETIGA COVID-19 LEBIH BESAR JIKA RAKYAT TIDAK KISAH – KP KESIHATAN

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diminta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa hari ini, bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan mengelakkan gelombang ketiga jangkitan yang lebih besar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan rayuannya di Facebook hari ini berkata, semua pihak seharusnya duduk di rumah dan jarakkan diri daripada orang lain.

“Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

“Bantulah KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac depan dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bagi mengekang penularan COVID-19.

Virus yang diistiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat ini mengorbankan dua warga Malaysia dengan 673 kes jangkitan.

Noor Hisham merayu rakyat Malaysia supaya mengambil perintah kawalan pergerakan secara serius dengan tidak keluar dari rumah.

“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sikap tidak kisah,” katanya.

Walaupun majoriti rakyat menurut perintah kawalan pergerakan itu, masih terdapat laporan orang ramai di beberapa lokasi yang berkumpul dan makan di restoran, sekali gus meningkatkan risiko penularan wabak merbahaya itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply