GURU TASKA DIDAKWA CUAI, ABAI KANAK-KANAK HINGGA LEMAS

IPOH: Seorang guru taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, April lalu.
Tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah meninggalkan mangsa V. Thanes Nair, tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu lemas selepas terjatuh ke dalam kolam renang.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10.20 pagi di sebuah kolam renang di The Centro Club, Bandar Baru Sri Klebang pada 17 April lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 33(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan dan cuai menjaga kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 23 Ogos.
Pada 23 April lalu, kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia selepas tujuh hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini.
Kejadian terjatuh ke dalam kolam renang taska itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke sekolah.
Hasil bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati punca kematian akibat mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ.—AlHijrah Online