
KUALA LUMPUR: Menjelang kemuncak musim haji 1447H, TV AlHijrah terus memainkan peranan sebagai ‘jambatan rohani’ yang menghubungkan rakyat Malaysia dengan suasana di Tanah Suci Makkah menerusi pelbagai kandungan khas yang berteraskan penghayatan ibadah.
Bertemakan “Arafah: Puncak Munajat dan Harapan”, rangkaian program yang disusun memberi penekanan kepada pengisian rohani, di samping perkongsian ilmu serta pengalaman sepanjang musim haji.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Haris, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi gambaran jelas kepada umat Islam yang belum menunaikan haji, malah menjadi medium mengimbau kenangan buat mereka yang pernah menunaikannya.
“Program-program ini menjadi pengisian untuk menyediakan masyarakat Islam, khususnya yang belum pernah menunaikan haji, selain menjadi proses ingatan semula bagi mereka yang telah melaksanakannya,” kata beliau.
TV AlHijrah turut mengukuhkan kedudukannya sebagai stesen penyiaran Islam utama negara melalui kandungan khas haji yang disiarkan bermula April hingga penghujung Mei 2026.
Antara keunikan tahun ini ialah integrasi digital secara langsung yang membolehkan penonton berinteraksi dan mengajukan persoalan berkaitan hukum-hakam secara masa nyata bersama barisan asatizah berpengalaman.
Program seperti Interaktif Haji dan Diari Labbaikallah menjadi antara tumpuan utama kerana membawa penonton merasai pengalaman ibadah di Tanah Suci dengan lebih dekat dan mendalam.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata TV AlHijrah bukan sekadar medium penyampaian ilmu, tetapi turut berperanan membentuk pemikiran masyarakat terhadap Islam yang progresif dan inklusif.
“TV AlHijrah memainkan peranan penting dalam membentuk fikrah rakyat untuk memahami Islam yang berkemajuan serta meraikan perbezaan,” ujarnya.
Antara program utama lain sepanjang musim haji di TV AlHijrah ialah Kisah Mutawif, Munajat Arafah, Khutbah Arafah, Peristiwa Hari Tasyrik, Assalamualaikum dan Berita AlHijrah Khas musim haji. — AlHijrah Online