HAJI: USAHA ARAB SAUDI CEGAH COVID-19 DIIKTIRAF WHO

Last Updated on

Gambar Ihsan: Kementerian Media Arab Saudi

ARAB SAUDI: Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat khusus buat jemaah haji musim ini yang dikuatkuasakan Arab Saudi diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata Arab Saudi berjaya melaksanakan protokol kesihatan dan memastikan semua langkah pencegahan penularan virus COVID-19 dilaksana dengan baik.

“Syabas Arab Saudi kerana berjaya pastikan musim haji kali ini selamat daripada penularan virus korona. Ia menterjemah kaedah dan langkah terbaik yang boleh menjadi contoh kepada negara lain dalam mendepani norma baharu”.

Musim haji kali ini tidak seperti kelaziman. Bilangan jemaah dari seluruh dunia yang terpilih tidak ramai dan terhad kepada mereka yang menetap di Arab Saudi sahaja.

Tiada kemasukan jemaah dari luar negara itu dibenarkan sama sekali.

70 peratus daripadanya adalah rakyat daripada 160 negara manakala baki 30 peratus lagi rakyat Arab Saudi sendiri.

Gambar ihsan Kementerian Media Arab Saudi

Antara SOP ketat yang diperkenalkan Riyadh bagi musim haji kali ini adalah jemaah haji perlu dikuarantin sebelum bermulanya kemuncak haji dan selepas selesai rukun Islam kelima itu.

Selain itu penjarakan sosial dua meter antara satu sama lain turut diamalkan ketika amalan-amalan, rukun dan wajib haji dilaksanakan.

Setiap jemaah dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing dengan satu kumpulan tidak melebihi 20 orang. Setiap kumpulan mempunyai fasilitator yang akan memantau setiap pergerakan sepanjang kemuncak haji itu.

Penjarakan sosial dua meter ketika melontar jamrah. Gambar ihsan: Mushtafa Muadz Mohammad Masrur

Musim haji kali ini mendapat perhatian global dengan pelaksanaan SOP yang sangat ketat. Visual serta gambar-gambar tawaf, solat, wukuf dan melontar tular di seluruh dunia berikutan penguatkuasaan SOP itu yang jarang-jarang sekali diamalkan pada musim haji. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply