ARAFAH TENANG, JEMAAH HAJI SEMPURNAKAN WUKUF

Penjarakan sosial di khemah Arafah. Gambar ihsan Mushtafa Muadz, jemaah haji Malaysia.

ARAFAH, ARAB SAUDI: Jemaah haji terpilih tahun ini berwukuf di padang Arafah yang bermula tergelincirnya matahari 9 Zulhijjah, bersamaan 30 Julai 2020.

Ia termasuk lapan rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi, dan diluluskan permohonan mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Terdahulu, dalam komunikasi bersama AlHijrah Online, salah seorang jemaah Malaysia, Mushtafa Muadz Mohammad Masruh berkata, pergerakan jemaah dari lokasi penginapan di Mina, terus menuju ke Masjid Namirah, di Arafah.

Jemaah di Masjid Namirah, Arafah sedang menunggu bacaan khutbah Arafah. Gambar ihsan Mushtafa Muadz, jemaah haji Malaysia.

Kesemua jemaah mendengar khutbah Arafah di masjid berkenaan sebelum menunaikan solat fardhu Zuhur dan Asar secara jamak.

Jemaah kemudian menuju ke khemah yang disediakan untuk berwukuf.

Waktu berwukuf dan berdoa adalah sehingga tenggelamnya matahari pada waktu Maghrib.

Khemah-khemah yang disediakan untuk jemaah pada musim haji kali ini, sebagai mana lazimnya memuatkan beberapa kemudahan asas. Namun aspek penjarakan sosial masih diamalkan melalui kedudukan kerusi-kerusi jemaah yang diletakkan dengan ruang antara satu hingga dua meter antara satu sama lain.

Kelengkapan selesa untuk jemaah haji. Gambar ihsan Mushtafa Muadz, jemaah haji Malaysia.

Petugas kebersihan, keselamatan dan perubatan turut dilihat berada di khemah-khemah di Arafah bagi memastikan kebajikan para tetamu Allah berada dalam keadaan baik.

Gambar ihsan Mushtafa Muadz, jemaah haji Malaysia.

Semalam, jemaah memulakan kemuncak haji dengan tawaf Qudum, iaitu tawaf permulaan. Ia merupakan sejarah yang baharu apabila aspek penjarakan sosial amat ditekankan ketika mengelilingi kaabah. –

Untuk tahun ini, ekoran penularan ancaman virus COVID-19, Arab Saudi hanya membenarkan ibadah haji disertai mereka yang tinggal atau menetap di negara itu sahaja. Ia termasuk rakyat dari 160 negara, selain rakyat negara itu sendiri. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply