HAJI: AGONG MAHU JEMAAH MALAYSIA JAGA KESIHATAN

Sidang video interaksi Zulkifli bersama lapan jemaah haji Malaysia di tanah suci.

KUALA LUMPUR: Yang DiPertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mahu lapan jemaah haji Malaysia yang terpilih menunaikan haji tahun ini, mengambil berat dan cakna tentang kesihatan masing-masing.

Perkara itu dititahkan baginda menerusi mesej yang disampaikan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri.

Sebaik menerima maklum balas daripada Yang Di-Pertuan Agong, Zulkifli terus menyampaikan pesanan dan amanat baginda kepada kesemua lapan jemaah haji Malaysia, yang kini telah mula berada di Mina, sebelum berangkat ke Arafah.

“Saya sempat berinteraksi secara dalam talian bersama Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Baginda menzahirkan keprihatinan dan kecaknaannya berkenaan kesihatan (jemaah haji)”.

Pesanan Yang Di-Pertuan Agong itu disampaikan Zulkifli ketika sesi interaksi yang dibuat menerusi aplikasi Zoom, di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata titah Al Sultan Abdullah itu amat tepat pada masanya, berikutan kebimbangan dunia dalam berdepan ancaman virus COVID-19 sekarang.

“Nasihat Tuanku amat tepat dengan situasi yang dialami dunia ketika ini. Namun kita percaya jemaah haji Malaysia mampu melaksanakannya (ibadah haji) dengan baik.”

Lapan rakyat Malaysia terpilih menunaikan ibadah haji musim 1441 Hijrah.

Semalam, Zulkifli berinteraksi secara langsung bersama lapan jemaah haji Malaysia tepat jam 5 petang waktu Malaysia (12 tengah hari waktu Makkah). Kesemuanya berada di hotel Four Points Sheraton, Makkah. Mereka adalah; Mushtafa Muadz Mohammad Masruh; Syahirah Hasbullah; Maryam Munirah Mohammad Masruh; Norani Nordin; Fathin Anis Athirah Daud; Fauziah Mohamad Yusof; Muhammad Uwais Mohd Rosli dan Nor Atikah Shamsuddin.

Zulkifli sempat bersoal jawab selain memberi nasihat kepada kelapan-lapan rakyat Malaysia yang bertuah itu berhubung hukum hakam haji dan ibadah-ibadah yang berkaitan.

Sesi interaksi secara langsung menerusi FB Live TV AlHijrah itu berlangsung selama hampir 45 minit, dan diakhiri dengan doa selamat oleh Zulkifli.

Pematuhan SOP penjarakan sosial ketika tawaf qudum oleh jemaah haji. Gambar ihsan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

Pada Rabu, semua jemaah haji melaksanakan tawaf qudum sebelum berangkat ke Mina. Mereka ditempatkan di Mina Tower sebelum meneruskan pergerakan ke Arafah, tengah malam ini (waktu Arab Saudi). – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply