PAKAI PELITUP MUKA DALAM TEMPOH PANJANG TIDAK MENYEBABKAN KEKURANGAN OKSIGEN – KKM

KUALA LUMPUR: Pemakaian pelitup muka dalam tempoh yang lama mungkin akan menyebabkan seseorang itu rasa tidak selesa malah ada juga yang mendakwa ia mengganggu aliran penafasan mereka kerana terasa tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Bagaimanapun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, orang ramai tidak perlu bimbang kerana pemakaian pelitup muka dalam tempoh masa yang panjang tidak akan menyebabkan seseorang itu mengalami kekurangan oksigen.
“Pakai pelitup muka terlalu lama membuat kita tidak selesa tetapi ia tidak menyebabkan berlebihan karbon dioksida atau kekurangan oksigen.
“Pakai pelitup muka dengan betul dan selesa supaya kita dapat bernafas secara normal,” kata KKM melalui ciapan di Twitter rasminya.
Maklumat yang dikongsikan KKM itu berdasarkan fakta yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
KKM turut menegaskan pelitup muka tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak.
Bermula 1 Ogos 2020, kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak dan ketika menaiki pengangkutan awam.
Kegagalan berbuat demikian, individu boleh dikompaun RM1,000. — AlHijrah Online / Zaim Zamani