Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

HAMPIR 90 PERATUS WILAYAH GAZA KINI DIKUASAI ISRAEL – OCHA

DUNIA

HAMPIR 90 PERATUS WILAYAH GAZA KINI DIKUASAI ISRAEL – OCHA

Hampir 90 peratus wilayah Gaza kini ditawan Israel dengan 2.3 juta penduduk sukar mencari tempat perlindungan setelah tentera rejim mengarahkan pemindahan serta-merta, dedah Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Gambar fail (AFP)

GAZA: Hampir 90 peratus wilayah Gaza kini ditawan Israel dengan 2.3 juta penduduk sukar mencari tempat perlindungan setelah tentera rejim mengarahkan pemindahan serta-merta, dedah Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, keadaan itu menyaksikan hanya tinggal kira-kira 11 peratus sahaja kawasan untuk mangsa perang mencari tempat selamat, namun di Gaza tiada kawasan boleh diisytiharkan sebagai selamat.

Pemangku Pengarah OCHA, Joyce Msuya berkata, orang awam di Gaza hilang arah dan tidak tahu di mana untuk berlindung selepas pasukan pertahanan Israel (IDF) mengeluarkan arahan pemindahan.

Ketika taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), Msuya berkata arahan yang dikeluarkan rejim secara tiba-tiba itu melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa sehingga ramai menganggap tiada lagi sifat kemanusiaan di Gaza.

Kenyataan Msuya itu dibuat selepas PBB terpaksa menghentikan pergerakan bantuan kakitangannya di Gaza Isnin lalu berikutan arahan pemindahan baharu Israel di kawasan Deir Al-Balah, yang menjadi pusat operasi OCHA.

Beliau juga mempersoalkan nilai kemanusian Israel selepas pasukan bantuan antarabangsa itu sukar menjalankan operasi bantuan di Gaza ekoran serangan berterusan daripada tentera Israel.

Msuya berkata, keadaan yang tidak menentu di Gaza menyebabkan pihaknya gagal merancang jadual logistik dalam tempoh 24 jam melibatkan penerimaan dan penghantaran bantuan.

Beliau berkata, keadaan di Gaza begitu menghibakan dengan ramai orang awam sering kelaparan, dahaga dan sakit.

Selain itu, mereka juga tiada tempat tinggal yang menyebabkan keadaan yang amat menyayat hati.

Perang dilancarkan Israel terhadap pejuang Hamas sejak Oktober tahun lalu mengakibatkan lebih 40,000 kematian penduduk Palestin, namun sehingga kini rundingan gencatan senjata masih menemui jalan buntu. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading