HARIMAU KUMBANG DIPERCAYAI SERANG REMAJA MATI DITEMBAK

SUNGAI SIPUT: Seekor harimau kumbang jantan yang dipercayai menyerang remaja orang asli di Kampung Kelatap dekat Pos Pewor, Lasah, Sungai Siput, semalam telah ditembak mati pagi semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusof Shariff berkata, haiwan dengan anggaran usia sembilan hingga 10 tahun itu ditembak mati sebaik saja ia meluru ke arah anggota Perhilitan yang sedang membawa perangkap bersesuaian untuk dipasang.
Menurut Yusof, seorang kakitangannya melepaskan tiga das tembakan yang mengenai harimau kumbang berkenaan selepas ia tiba-tiba meluru ke arah salah seorang daripada mereka.
Beliau berkata, penelitian terhadap bangkai harimau kumbang mendapati banyak kesan tetakan pada kepala serta paha haiwan itu yang dipercayai kesan parang ketika bergelut dengan mangsa semalam.
Katanya, kakitangan Perhilitan turut menemukan beberapa kesan tapak kaki dipercayai harimau dan juga kesan darah yang masih baru pada rumput dan daun.
Yusof berkata, turut ditemui pada bangkai haiwan itu ialah jerat dawai kabel pada kaki kanan belakangnya yang cedera dan ia dipercayai penyebab harimau itu menjadi agresif dan menyerang manusia.
Ujar beliau, bangkai harimau kumbang berkenaan dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk menjalani bedah siasat.
Semalam, seorang remaja orang asli dilaporkan cedera selepas diserang binatang buas ketika mencari kayu di hutan berhampiran rumahnya dekat Lasah, Sungai Siput.
Remaja berusia 18 tahun itu luka teruk termasuk terdapat koyakan kulit daripada kesan cakaran pada kepala serta tangan namun tidak mengalami sebarang kepatahan. –AlHijrah Online