KARIAH MASJID BANGUNKAN PROJEK TANAMAN SAYUR DAN PENTERNAKAN IKAN

IPOH: Masjid bukan saja berfungsi sebagai tempat ibadat malah ia dapat dikembangkan dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertanian.

Bagi memanfaatkan ruang masjid, kariah Masjid Panglima Kinta, Ipoh membangunkan projek tanaman sayur serta penternakan ikan.

Bendahari Masjid Panglima Kinta, Nasir Ismail berkata, projek tanaman yang diberi nama Urban Farming Community (UFC) itu memberi manfaat kepada kariah dan komuniti setempat.

Katanya, projek dengan kerjasama daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu membantu memberi sayur-sayuran secara percuma kepada pengunjung masjid berkenaan.

“Apa yang kita ada kita agihkan, kita bukan nak komersialkan benda ni, tetapi antara matlamatnya adalah supaya kita dapat mengeratkan silaturrahim dan meramaikan kariah untuk mengimarahkan masjid dengan aktiviti-aktiviti seperti ini.

“Kalau sesiapa datang waktu sayur dituai, kira bernasib baiklah sebab kita akan agih-agihkan apa yang ada,” katanya.

Menurut Nasir, projek tersebut yang bermula sejak Januari lalu juga bertujuan menarik kedatangan pelancong ke masjid tertua di Perak itu.

Katanya, Masjid Panglima Kinta yang juga merupakan masjid kedua tertua di Malaysia sering dikunjungi pelancong dari luar Perak.

Sementara itu, Pegawai Besar Operasi PPPNP, Noorasidi Noordin berkata, program tersebut bertujuan mendidik komuniti mengenai pertanian bandar yang tidak berasaskan konvensional.

Katanya, projek secara akuaponik itu dapat membantu masjid menjana pendapatan sampingan melalui tanaman sayur dan penternakan ikan.

“Tanaman ni adalah tanaman kontan, tanaman dalam jangka masa pendek, jadi kita cuba tanaman yang yang senang dan yang biasa dulu iaitu tanaman pudina dan strawberi.

“Jadi lepas habis pusingan penuaian nanti masjid boleh mohon semula pada kami untuk kita tanam dengan tanaman yang lebih komersial, seperti sawi dan sayur-sayuran yang mudah dijaga dan dikendalikan oleh masjid,” katanya.

Menurut Noorasidi, Masjid Panglima Kinta adalah masjid kelima di Perak yang telah menjalankan projek Urban Farming Community tersebut.

Katanya, terdapat 80 pot sayur-sayuran yang ditanam secara akuaponik serta penternakan ikan lampam dijalankan kariah masjid tersebut. –AlHijrah Online

Leave a Reply