Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

HIJRAH BERSAMA TV ALHIJRAH SEMPENA TAHUN BARU ISLAM

DALAM NEGARA

HIJRAH BERSAMA TV ALHIJRAH SEMPENA TAHUN BARU ISLAM

KUALA LUMPUR: Satu hari berbaki sebelum bermulanya Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025, TV AlHijrah menyeru masyarakat untuk hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan ulang tahun ke-15 stesen ini yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 Jun 2025, bertempat di Masjid Jamek Beserah, Kuantan, Pahang.

KUALA LUMPUR: Satu hari berbaki sebelum bermulanya Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025, TV AlHijrah menyeru masyarakat untuk hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan ulang tahun ke-15 stesen ini yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 Jun 2025, bertempat di Masjid Jamek Beserah, Kuantan, Pahang.

Berbeza dengan sambutan tahun-tahun sebelum ini, ulang tahun kali ini disambut bersama masyarakat, bukan dalam acara eksklusif, tetapi dalam suasana masjid, ilmu dan ibadah. 

TV AlHijrah bukan sahaja hadir untuk menyiarkan, tetapi untuk menyentuh dan bersama menghidupkan nilai hijrah dan kebersamaan.

Kemuncak acara ialah siaran langsung Hijrah Berselawat pada 27 Jun 2025, jam 9.00 malam hingga 11.00 malam, yang akan dikendalikan oleh Syamsul Debat dan Shamsul Ghau-Ghau, serta dihiasi dengan pengisian rohani daripada PU Rozi Harun, Ustaz Tariq Jaffri, Ustaz Hassan Basri Ali, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali, Ustaz Nadir Al Nuri, dan persembahan oleh Al-Maqari, Lah Ahmad, Zaff VE dan Usop Kopratasa.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, menyampaikan seruan menyentuh jiwa kepada seluruh masyarakat menjelang sambutan tersebut.

“Ada beza antara menonton dan merasai. Hijrah Berselawat pada hari Jumaat malam ini bukan sekadar program di kaca TV, tetapi ia ruang untuk menyatu hati, menghidupkan roh dan kembali kepada fitrah bersama ribuan yang lain. Kami menyeru, jangan biarkan diri hanya menjadi penonton.

“Ulang tahun ke-15 ini bukan hanya tentang sejarah TV AlHijrah. Ia adalah kisah tentang bagaimana dakwah telah berkembang, tentang bagaimana setiap langkah kami membawa niat untuk memudahkan kefahaman Islam kepada semua. Kami turun ke Kuantan bukan untuk disambut, tetapi untuk menyambut anda sebagai tanda penghargaan, sebagai cara kami merapatkan jurang antara penyiar dan rakyat.

“Inilah juga sebahagian daripada usaha kolektif agar Islam terus mekar di bumi Malaysia melalui media, ilmu, dan penyatuan hati rakyat.

“Dalam dunia hari ini yang semakin laju dan terpisah, momen seperti ini penting untuk kita berhenti, menginsafi dan kembali kepada asas. Inilah masa untuk kita hadir secara fizikal, bertemu mata, bersalaman, berselawat dan bersatu sebagai ummah,” jelasnya.

Sebagai pelengkap kepada sambutan di lapangan, TV AlHijrah  turut menyusun rangkaian program istimewa di saluran televisyen sepanjang minggu Maal Hijrah ini. Antaranya ialah tayangan telefilem eksklusif seperti Pimpinku ke Jannah pada 22 Jun, Bilal & Abah pada 29 Jun, dan Sujudku pada 6 Julai. 

TV AlHijrah juga membawakan tayangan istimewa siri filem popular dari Indonesia, Hayya. Saksikan Hayya: The Power of Love 2 pada hari Jumaat, 27 Jun, jam 2 petang, diikuti Hayya 2: Hope, Dream & Reality pada hari Sabtu, 28 Jun, juga jam 2 petang. Dua filem yang sarat dengan mesej kemanusiaan, kasih sayang dan perjuangan.

Selain itu, program bual bicara dan kerohanian khas turut disiarkan seperti Dakwah Live Istimewa Maal Hijrah bertajuk Sejernih Doa Rasulullah pada 25 Jun, Fiqh Ta’ayush pada 26 Jun, Assalamualaikum Khas Maal Hijrah pada pagi 27 Jun, Gema Haflah Maal Hijrah pada malam 28 Jun, serta siaran langsung Hijrah Berselawat pada malam 27 Jun. Kesemua rancangan ini membawa mesej yang memperkukuh nilai hijrah, kasih sayang dan pengharapan dalam kehidupan umat Islam.

Sepanjang karnival, TV AlHijrah  juga akan mengendalikan reruai  interaktif dari pagi hingga malam, menawarkan sesi pertemuan bersama personaliti TV AlHijrah, permainan pendidikan Islamik, aktiviti kanak-kanak, serta edaran cenderamata edisi khas sempena ulang tahun ke-15.

Ulang tahun ke-15 ini bukan sekadar meraikan satu pencapaian, tetapi membina semula hubungan hati antara stesen dan masyarakat. TV AlHijrah  menjemput seluruh warga Pahang dan sekitarnya untuk hadir dan menyemarakkan semangat hijrah secara fizikal, bersama dalam majlis yang dijanjikan penuh pengisian dan keberkatan.

Bagi mereka yang jauh atau tidak berkesempatan hadir, stesen ini  turut membuka ruang untuk bersama dari rumah melalui rangkaian program khas di saluran TV AlHijrah sepanjang minggu Maal Hijrah ini. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading