
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani akan memastikan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu penting bagi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.
“Siasatan ini disokong oleh titah perkenan YDPA ke-16 pada 2021, berserta ketegasan titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 8 Ogos 2026 yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat ‘hingga ke lubang cacing’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keanggotaan RCI Tabung Haji terdiri daripada enam tokoh berwibawa yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Julai 2021.
gabungan kepakaran dalam bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, Syariah dan audit memastikan setiap siasatan serta cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil dan berintegriti tanpa sebarang campur tangan.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata beliau menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Kerajaan Madani bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.
“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh. Langkah ini penting demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam,” katanya.
Desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak menunjukkan pengurusan simpanan umat Islam menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi.
“Kerajaan Madani berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah dan memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang,” katanya. — AlHijrah Online