
PETALING JAYA: Pengguna Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang berdepan kesesakan luar biasa selepas satu struktur papan iklan tumbang dan menghalang sebahagian laluan berhampiran Bukit Jelutong, Shah Alam, tengah hari ini.
Berdasarkan perkongsian beberapa pengguna aplikasi Threads, kejadian berlaku sekitar Kilometer 8 hingga KM8.8 NKVE dan menyebabkan sekurang-kurangnya lorong kiri serta tengah terhalang.
Gambar yang dimuat naik menunjukkan struktur papan iklan bersaiz besar terkulai sehingga menutupi sebahagian jalan, menyebabkan kenderaan terpaksa memperlahankan pergerakan ketika melalui kawasan berkenaan.
Seorang pengguna mendakwa kejadian dipercayai berlaku selepas struktur berkenaan dilanggar sebuah lori di bahagian jejambat.
“NKVE Bukit Jelutong, laluan Shah Alam-Klang, papan tanda jatuh sebab lori kot langgar dekat ‘flyover’ atas tu. Lorong kanan sahaja boleh lalu. Hati-hati,” katanya menerusi hantaran kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Dalam pada itu, maklumat trafik yang dikongsikan Astro Audio Traffic pada pukul 1.40 tengah hari memaklumkan aliran trafik sesak luar biasa dari Subang ke Shah Alam dan Seafield susulan papan iklan tumbang yang menghalang lorong kiri dan tengah di KM8.8.
Setakat ini, punca sebenar kejadian serta maklumat sama ada terdapat kecederaan atau kerosakan kenderaan masih belum dapat dipastikan. –AlHijrah Online.