
SHAH ALAM: Pasukan pembelaan kes remaja lelaki berusia 15 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lepas menutup kes selepas saksi-saksi kes itu selesai memberi keterangan hari ini.
Menurut Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh, prosiding bela diri telah selesai selepas dua saksi termasuk remaja terbabit turut memberi keterangan.
“Selain remaja terbabit, seorang lagi saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony,
“Mahkamah menetapkan 3 September ini bagi pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis manakala 8 September untuk hujahan secara lisan sebelum keputusan kes,” katanya.
Tertuduh didakwa membunuh mangsa 16 tahun (umur ketika kejadian) di tandas sebuah sekolah menengah kebangsaan dekat Bandar Utama kira-kira jam 9.20 pagi 14 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, namun tertuduh juvana tertakluk kepada peruntukan Akta Kanak-kanak 2001.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin 12 Februari lepas.
Pada 30 Januari lepas, pihak pendakwaan memperoleh keizinan Jabatan Peguam Negara selaras Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan selepas laporan psikiatri mengesahkan remaja itu layak dibicarakan.
Untuk rekod, remaja terbabit didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi 22 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap pesalah di bawah umur 18 tahun misalpun tertuduh didapati bersalah.
Namun, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri mengikut Seksyen 97(2) akta yang sama.
Keseluruhan prosiding dijalankan secara tertutup ekoran tertuduh dalam kategori dibawah umur dan tidak boleh didedahkan identitinya atau dirakam gambarnya. — AlHijrah Online.