
SHAH ALAM: Polis sedang giat mengesan sekumpulan lelaki berikutan kes bakar mercun di persimpangan Jalan Hamzah Seksyen U14 baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada Ketua Polis Balai Bukit Jelutong pada Rabu berkaitan penularan video insiden terbabit.
Menurutnya, kejadian dianggarkan berlaku sekitar jam 4.22 petang Selasa lepas semasa perarakan kematian menuju ke Tapak Perkuburan Bliss Garden Setia Alam.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat dalam aktiviti membakar mercun ini dan saksi yang berada di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohd Razi Sahari di talian 019-5717076 bagi membantu proses siasatan.
Terdahulu, insiden bakar mercun itu tular di aplikasi Threads memaparkan sekumpulan lelaki sedang membakar mercun di lokasi tersebut.