
PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi akan meningkat sebanyak 5 sen di seluruh negara mulai 27 Ogos hingga 2 September ini.
Kementerian Kewangan memaklumkan, harga baharu bagi RON97 tanpa subsidi pada RM4.30 seliter, RON95 tanpa subsidi pada RM3.82 seliter, dan Diesel tanpa subsidi pada RM4.72 seliter.
Hal ini susulan ketidaktentuan geopolitik dunia yang berlarutan terus memberi tekanan terhadap harga dan bekalan petroleum global.
“Sekatan trafik di Selat Hormuz yang berterusan terus mengekang bekalan minyak dunia” kata kementerian dalam kenyataan hari ini.
Walaubagaimanapun, kerajaan masih mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
Harga bahan api bersubsidi kekal iaitu BUDI95 pada RM1.99 seliter, BUDI Diesel pada RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. — AlHijrah Online.