Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KPM ARAH HENTIKAN SEMUA AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH SERTA-MERTA

UTAMA

KPM ARAH HENTIKAN SEMUA AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH SERTA-MERTA

KPM mengarahkan semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu menghentikan serta-merta segala aktiviti luar bilik darjah, termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan, di kawasan yang mencatat bacaan IPU melebihi 100.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu menghentikan serta-merta segala aktiviti luar bilik darjah, termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan, di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100 susulan cuaca panas dan jerebu.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) demi kebajikan serta keselamatan murid.

“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihatkan agar sentiasa merujuk surat siaran KPM Bilangan 5/2016 bertarikh 26 April 2016, berkenaan persediaan sekolah berhubung penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan.

“Institusi pendidikan juga boleh merujuk surat siaran KPM Bilangan 1/2019 bertarikh 15 Jan 2019, mengenai langkah-langkah KPM bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan jerebu yang dianggap kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata lokasi penganjuran acara sukan yang sedang berlangsung pada peringkat Majlis Sukan Sekolah (MSSM) dan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) akan diselaraskan semula ke kawasan yang lebih selamat atau dijalankan secara tertutup dalam bangunan, sekiranya perlu berdasarkan bacaan IPU semasa.

Beliau berkata JPN, PPD dan semua institusi pendidikan di bawah KPM turut disarankan melaksanakan langkah pencegahan, termasuk memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

“Bekalan air minuman bersih perlu sentiasa mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri,” katanya.

Mohd Azam berkata pihak berkaitan perlu menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan, selain membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkan air minuman.

“JPN, PPD dan semua institusi pendidikan di bawah KPM perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat jerebu dan cuaca panas,” katanya.

Beliau berkata institusi pendidikan juga perlu peka dan memantau bacaan IPU serta status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata laporan terkini menunjukkan kira-kira 30 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat di negara ini. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading