HORMAT KEPUTUSAN GENCATAN SENJATA – PBB

Sumber: AFP

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa agar semua pihak menghormati keputusan gencatan senjata yang dipersetujui rejim Zionis dan pejuang Hamas pada 21 Mei lalu.

Jurucakap Guterres dalam sidang akhbar berkata, beliau prihatin terhadap kekerasan yang meningkat di Semenanjung Gaza, lapor agensi Xinhua.

Gutteres mahu melihat permusuhan dapat dihentikan dan memberi ruang kepada pihak bertanggungjawab melakukan usaha bagi menstabilkan keadaan.

Awal pagi semalam, Israel telah melancarkan serangan udara semula ke atas Gaza selepas peperangan selama 11 hari pada Mei lalu.

Ia merupakan serangan pertama selepas pentadbiran kerajaan gabungan Israel baharu yang diketuai Naftali Bennet.

Serangan tersebut turut menyasarkan kawasan tentera milik Hamas di selatan Khan Younes.

Menurut jurucakap tentara Israel, mereka menuduh Hamas perlu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di Gaza dan memberi amaran akan menanggung akibatnya.

“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bersiap sedia untuk setiap senario, termasuk bertempur semula selain memberi amaran kepada Hamas untuk menanggung akibatnya,” katanya.

Serangan yang dilancarkan Israel merupakan serangan balas terhadap tindakan pejuang Palestin yang melepaskan ’belon api’ yang menyebabkan beberapa kebakaran di Selatan Israel.

Pejuang Palestin bertindak untuk menunjuk perasaan selepas ratusan penduduk Yahudi menyertai ‘Perarakan Bendera’ di kawasan Baitulmaqdis.—AlHijrah Online

Leave a Reply