CITF SETUJU CADANGAN KPM UTAMAKAN VAKSIN KEPADA MURID KELAS PEPERIKSAAN

Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) menerima cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengutamakan suntikan vaksin COVID-19 kepada pelajar yang menghadapi peperiksaan tahun ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, CITF bersetuju dengan cadangan yang diusahakan KPM bagi memastikan pelajar-pelajar tersebut diberi keutamaan terlebih dahulu.

“Alhamdulillah! Cadangan KPM agar pelajar kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh CITF yang dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diluluskan bagi kegunaan individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PKBD) kali ke-359 Berkenaan Pendaftaran Vaksin COVID-19.

Sementara itu, Radzi menyatakan bahawa lebih 90,000 warga pendidik setakat ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Menteri Penyelaras Progam Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan KPM berkaitan pemberian vaksin kepada pelajar peperiksaan selain guru dan kakitangan sekolah.

“Pendapat saya, mereka yang menghadapi peperiksaan awam ini perlu untuk kembali ke sekolah sebagai persediaan peperiksaan akan datang,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply