POLIS AMBIL KETERANGAN 77 INDIVIDU TERLIBAT DALAM ALL TOGETHER NOW MALAYSIA

PUTRAJAYA: Polis sudah mengambil keterangan daripada 77 individu termasuk juri selebriti dan peserta program hiburan ‘All Together Now Malaysia’ (ATNM).

Ia berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu rakaman dijalankan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz berkata, seramai 50 juri, 25 peserta dan dua pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sejak 8 Jun lepas bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes pelanggaran SOP tersebut.

Keterangan pegawai KKM terbabit adalah untuk membantu siasatan jika wujud kesalahan berdasarkan bukti yang ada, katanya.

“Siasatan masih lagi dijalankan,” ujarnya menerusi aplikasi WhatsApp selepas ditanya perkembangan siasatan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN – 50 JURI ALL TOGETHER NOW MALAYSIA DIPANGGIL POLIS

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd Fadzil Ali berkata polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan mendakwa sebuah program terbitan Astro telah melanggar SOP PKP yang sedang berkuatkuasa.

Pada 11 Jun lalu, pihak yang terlibat dengan penggambaran program ATNM telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi memberi keterangan.

Mohd Fadzil berkata polis telah menjalankan siasatan di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Pemulihan) kerana tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tidak memakai pelitup muka ditempat awam.

Tambahnya, siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya.–AlHijrah Online

Leave a Reply