Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

HORMATI KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN DAN KEDUDUKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN – SULTAN SELANGOR

DALAM NEGARA

HORMATI KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN DAN KEDUDUKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN – SULTAN SELANGOR

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Baginda bertitah dalam menangani isu berbangkit kini, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan.

“Ini bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan (ambiguity),” titah baginda.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikan sempena Mesyuarat MKI ke-71, di Putrajaya hari ini.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah.

Titah baginda, pelbagai pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut. 

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut. Beta telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah Beta semasa mesyuarat MKI Kali ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan yang berbangkit ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, antaranya adalah melaksanakan kajian terhadap isu-isu berkaitan kompetensi termasuklah analisis kepada peruntukan undang-undang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkannya secara terperinci.

Selain itu, cadangan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan selain mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sultan Sharafuddin bertitah, jawatankuasa khas berkenaan telah diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

Dalam hal ini, baginda menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas itu dengan memberikan cadangan-cadangan berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas berkenaan melaksanakan tugas.

“Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini, namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

“Sementara itu, Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menasihatkan umat Islam di negara ini terutama para alim ulama dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Baginda turut menasihatkan umat Islam supaya tidak berbalah secara terbuka dalam perkara yang boleh diselesaikan secara bermesyuwarah dan tertutup di samping perlu meraikan perbezaan pendapat, menyelesaikan perbezaan pandangan melalui pendekatan ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.

SUMBER: BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading