HUSNUL KHATIMAH, BEKAS KETUA CAWANGAN PAS MENINGGAL DALAM SOLAT

KUALA KRAI: Bekas Ketua Cawangan PAS Kampung Kenor meninggal dunia semasa menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, di Masjid Mukim Kenor, di sini, Khamis lalu.

Allahyarham Mohd Radzi Ibrahim, 63, difahamkan secara tiba-tiba rebah dalam rakaat pertama solat di masjid itu pada jam 7.20 malam.

Kejadian yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Mohd Radzi tidak sempat rukuk lalu rebah dalam keadaan bersujud di saf jemaah lain yang sedang solat.

Menurut Imam Tua Masjid Mukim Kenor Ahmad Fadhil Zamani, beliau yang menjadi imam solat pada waktu itu terdengar bunyi kuat seperti objek jatuh.

“Seorang jemaah berhenti daripada solat dan segera membantu membaringkan Mohd Radzi yang sudah tidak sedarkan diri.

“Saya menghubungi talian kecemasan 999 dan pegawai perubatan yang tiba memeriksa Mohd Radzi mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Ahmaf Fadhil berkata, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung.

Ujarnya, Allahyarham rajin menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah di masjid selain mengamalkan bacaan 40 kali surah al-Ikhlas setiap hari.

“Arwah seorang yang sangat pemurah dan sentiasa berebut membayar harga makanan dan minuman sahabat-sahabatnya semasa di kedai makan selain seorang yang sangat berpegang teguh pada janji.

“Kita tidak tahu amalan rahsia arwah hingga membawa kepada kematiannya secara husnul khatimah (mati dalam keadaan beribadat dan pada malam Jumaat),” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah Kuala Krai selepas solat Jumaat.—AlHijrah Online

Leave a Reply