PENDEDAHAN PEMAIN MUDA PERLU DISEGERAKAN

Gambar Twitter BA_Malaysia.

KUALA LUMPUR: Sejak 1977, episod demi episod Malaysia gagal melahirkan juara dunia dalam sukan badminton, hinggalah beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya memecah kebuntuan itu selepas 45 tahun.

Aaron-Wooi Yik yang ketika ini pemain ranking kelima dunia, berjaya membenam juara dunia tiga kali Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dengan straight set 21-19, 21-14.

Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan negara dan dianggap hadiah kemerdekaan ke-65 tahun, malah mengubah landskap sejarah sukan badminton Malaysia.

Selama 45 tahun tanpa juara dunia, Malaysia akhirya berjaya walaupun terpaksa melalui jalan yang panjang serta berliku berbanding kuasa dunia lain yang sentiasa melahirkan juara dunia baru.

Selama ini, kita memang selalu mengatakan kalah menang adat perlawanan namun sampai bila kita yang dahulu antara gergasi dunia badminton hanya mampu memberi alasan klise itu?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak negara yang sebelum ini bukan kuasa elit badminton, mula tunjuk taring.

India kini banyak melahirkan pemain pelapis dan ada yang berada di kedudukan kelompok 10 terbaik dunia.

Ia bermula dengan era Saina Nehwal, Srikanth Kidambi dan kemudiannya muncul pemain pelapis bertaraf dunia, Laksha Sen dan regu emas mereka, Chirag Shetty dan Satwiksairaj Rankireddy.

Thailand, dengan pemain muda dan konsisten di peringkat dunia, tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Bermula dengan  kejayaan Ratchanok Intanon memenangi juara dunia  2013 pada usia yang sangat muda, iaitu 18 tahun.

Kejayaannya jelas  memberi inspirasi kepada negara Gajah Putih itu untuk menghasilkan lebih ramai Intanon.

Begitu juga, Taiwan yang ada juara Olimpik 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin, diikuti pemain nombor satu dunia paling lama berada pada kedudukan itu (213 minggu) bagi kategori perseorangan wanita, Tai Tzu Ying dan juga pemain perseorangan lelaki sensasi yang berada di ‘top 5’ Chou Tien Chen.

Beberapa negara Eropah, seperti Perancis, Sepanyol, Belanda, Kanada hatta Jerman yang sebelum ini sukan badminton bukanlah sukan tumpuan ataupun ‘favourite’ negara mereka, kini menunjukkan bisa, mereka apabila pemain-pemainnya kembali menjadi antara lawan yang digeruni.

Lihat saja Carolina Marin dari Sepanyol, tiga kali menggengam gelaran juara dunia.

Pemain Perancis Tom Gicquel-Delphine Delrue, beregu campuran sepuluh terbaik dunia ketika ini, serta Mark Lamsfuss-Isabel Lohau dari Jerman yang baru memenangi pingat di kejuaraan dunia baru-baru ini.

Adakah kita hanya mahu melihat sahaja perkembangan badminton di negara lain, tanpa berbuat apa-apa?

Bagaimanapun dengan kemenangan kejuaraan dunia baru-baru, Malaysia kembali bernafas.

Namun bernafas yang bagaimana? Adakah kembali dipandang sebagai kuasa dunia badminton?

Sejak kemenangan Aaron dan Wooi Yik sebagai juara dunia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mula menyusun kembali strategi mereka.

Pada 7 september lalu BAM melalui Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria  mengumumkan penubuhan ‘Skuad Elit Junior’ sebagai usaha mempercepat perkembangan pemain remaja.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah). – BERNAMA

Penubuhan tersebut walaupun dilihat agak lambat berbanding negara gergasi badminton lain, namun sekurang-kurangnya BAM ‘bertindak’.

Penubuhan Skuad Elit Junior itu setidak-tidaknya akan membantu negara mencambahkan jumlah pemain badminton Malaysia yang mampu beri saingan sengit di kejohanan super siri BWF yang lebih tinggi.

Indonesia, Jepun, Korea, China, Denmark sehingga kini berterusan melahirkan pemain muda berbakat dan berkeupayan melawan pemain senior bertaraf dunia.

Tiada istilah ‘kurang pengalaman, tidak bersedia, kepenatan, masih muda’ dan sebagainya sebagai alasan kekalahan.

Mereka tidak semudah itu meluahkan punca tewas.

Dan seperkara lagi yang perlu diberi perhatian serius BAM ialah bagaimana mahu mengekalkan pemain berbakatnya untuk ‘kekal’ bersama mereka.

Ia ekoran ada beberapa pemain berbakat memilih keluar BAM dengan pelbagai ‘alasan’.

Jika dipandang sepi perkara itu, ia mungkin akan menjadi barah, dan ia akan merencatkan tempoh usaha negara untuk melahirkan lebih ramai ‘adik beradik Sidek’  ‘Lee Chong Wei’,  ‘Koo Kien Keat-Tan Boon Heong’, dan episod pencariannya akan menjadi lebih panjang.

Kita juga tidak mahu tindakan perlahan mengesan pemain berbakat, melarat.

Lihat saja  Loh Kean Yew yang terpaksa berhijrah ke negara lain sehingga Singapura lebih dahulu mencipta kejutan melalui anak kelahiran Malaysia itu, muncul juara dunia.

Abangnya Loh Kean Hean turut mewakili Singapura menjadi pemain beregu.

Sehubungan itu dengan tertubuhnya Skuad Elit Junior ini Malaysia diharap tidak lagi bergantung kepada pemain senior terlalu lama seperti sebelum ini sehingga kita lupa bakat baru yang boleh memberi saingan kepada pemain elit.–AlHijrah Online

Penulis adalah Editor / Penerbit Berita AlHijrah.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply