HELIKOPTER HILANG, LOKASI TERAKHIR DI HUTAN DEKAT BIDOR

Gambar: Bernama

IPOH: Sebuah helikopter yang membawa seorang juruterbang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), sebelum dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan kira-kira pukul 12.16 tengah hari, dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

“Helikopter ini sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, pada pukul 11.37 pagi.

“Pihak CAAM dan PDRM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian ini dan kedua-dua pihak telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat  di lokasi sebenar, berdasarkan prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Stesen KTMB Ipoh, hari ini.

Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo dengan kerjasama polis Tapah, sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat termasuk melalui laluan darat.

“Kita doakan agar pasukan mencari dan menyelamat itu dapat maklumat yang diperlukan untuk tentukan kawasan sebenar pesawat berkenaan dan kita berharap menerima berita baik.

“Kalau ikutkan kepada menara kawalan, radar menunjukkan pesawat itu sudah berada di atas tanah namun kita nakkan kepastian dan tidak boleh buat sebarang andaian jadi satu laporan lengkap akan dikeluarkan oleh CAAM,” katanya.

Tambahnya, lokasi sebenar pesawat terbabit tidak dikenal pasti namun difahamkan ia berada dalam kawasan hutan dekat Bidor dan pihaknya dimaklumkan pihak PDRM sedang mengesan laluan masuk ke tempat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi berkata berdasarkan longitud dan latitud lokasi diberikan CAAM, lokasi terakhir ia dikesan adalah berhampiran Hutan Simpan Chikus, Langkap di Teluk Intan dan pihaknya bersama polis daerah Hilir Perak dengan bantuan pihak bomba sedang giat melakukan pencarian. – AlHijrah Online

Leave a Reply