POLIS TERIMA DUA LAPORAN KES AMANG SEKSUAL LIBATKAN PENCERAMAH BEBAS

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan kes amang seksual fizikal membabitkan seorang penceramah bebas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ruslan Khalid berkata laporan dibuat dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 17 tahun pada bulan ini di Seremban.

“Pada masa ini, siasatan selari dijalankan bersama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor. Polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke Bukit Aman, untuk dikemukakan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Justeru, Ruslan berkata orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak serta menimbukan kegusaran kepada masyarakat.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, pihaknya menerima empat laporan berkaitan kes itu pada 30 Ogos lepas iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, serta masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

Hasil siasatan mendapati penceramah berusia 40-an itu, mengenali empat mangsa berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

Susulan itu, lelaki terbabit ditahan pada 4 petang pada Khamis dan kemudian direman selama enam hari sehingga 14 Sept ini bagi membantu siasatan.–AlHijrah Online

Leave a Reply