Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

INISIATIF, KOLABORASI STRATEGIK MALAYSIA-MWL BAKAL DIREALISASIKAN – ZULKIFLI

DALAM NEGARA

INISIATIF, KOLABORASI STRATEGIK MALAYSIA-MWL BAKAL DIREALISASIKAN – ZULKIFLI

Al-Issa menyifatkan Malaysia sebagai negara yang menjadi sumber inspirasi dunia Islam dalam usaha memperkukuh agenda Islam pada peringkat antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Beberapa inisiatif dan kolaborasi strategik antara Malaysia dan Liga Dunia Islam (MWL) bakal direalisasikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata perkara itu hasil pertemuan tertutup dengan Setiausaha Agung MWL Datuk Seri Sheikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa, yang diadakan selepas Program Pertandingan Iman dan Sains, di sini semalam.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Zulkifli berkata pertemuan itu bukan sekadar untuk bertukar pandangan, tetapi juga untuk merangka hala tuju kerjasama yang lebih berfokus.

“Alhamdulillah, ruang ini dimanfaatkan sebaiknya. Bukan sekadar bertukar pandangan, tetapi merangka masa depan, dengan perbincangan yang padat, bermakna dan penuh visi.

“Insya-Allah, hasil daripada pertemuan ini, beberapa inisiatif dan kolaborasi strategik bersama Liga Dunia Islam bakal direalisasikan. Daripada wacana ke tindakan, demi ummah yang lebih kuat, berilmu dan bersatu,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Al-Issa dan MWL atas kesudian berkongsi pandangan serta komitmen yang luar biasa.

“Bila niat kerana Allah, pertemuan jadi ibadah. Bila visi jelas, langkah jadi bermakna,” katanya.

Semalam, Al-Issa menyifatkan Malaysia sebagai negara yang menjadi sumber inspirasi dunia Islam dalam usaha memperkukuh agenda Islam pada peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam berkata hal ini ditonjolkan melalui komitmen berterusan Malaysia dan rakyatnya dalam menyokong serta menjayakan pelbagai program keislaman bersama MWL.

Pertandingan Iman dan Sains yang dianjurkan menerusi platform Facebook Iman & Sains Malaysia sepanjang Ramadan itu, adalah antara usaha MWL memperluas kerjasama dan persefahaman antara negara dalam memperkukuh nilai kemanusiaan serta menampilkan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam.–BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading