ISLAMOFOBIA: SEKOLAH DIARAH TUTUP SUSULAN KES TAMPAR PELAJAR

UTTAR PRADESH: Pihak berkuasa negeri Uttar Pradesh mengarahkan sebuah sekolah swasta di daerah Muzzafarnagaar ditutup serta merta susulan kes guru perempuan mengarahkan pelajarnya menampar murid beragama Islam.
Penutupan itu bagi tujuan siasatan selepas video kejadian itu tular di seluruh dunia hingga mendapat kecaman hebat.
Penutupan Sekolah Neha itu telah memasuki hari ketiga.
Selain untuk tujuan siasatan, tindakan itu juga ekoran sekolah berkenaan tidak memenuhi kriteria jabatan pendidikan.
Setakat ini kesemua murid di sekolah itu dipindahkan ke sekolah kerajaan atau sekolah berhampiran kawasan tersebut.
Sementara itu, guru wanita terbabit, Tripta Tyagi, mempertahankan perbuatannya dan mengakui tidak terkesan dengan kecaman.
Pada 24 Ogos lalu, Tripta mengarahkan anak muridnya menampar salah seorang pelajar Islam berusia tujuh tahun secara bergilir-gilir, sebagai denda kerana tidak mengingat jadual kelasnya.
Dia juga meminta untuk menampar lebih kuat sebagai pengajaran selain mengusir pelajar tersebut keluar dari kelas.
Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.
Dalam video tersebut menunjukkan pelajar Islam itu menangis teresak-esak ditampar rakan sekelasnya.—AlHijrah Online