SEORANG MANGSA TRAGEDI BOT TERBALIK DI TELUK BATIK MENINGGAL DUNIA

IPOH: Salah seorang mangsa insiden bot terbalik di Pantai Teluk Batik semalam Nurul Afiqah Abdullah Sani, 34, meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsikan adik Allahyarham, Khairul Naim menerusi catatan di Facebook.

“Untuk makluman, kakak saya Nurul Afiqah Abdullah Sani telah menghembuskan nafas terakhir beliau pada jam 4.28 pagi (29/8/2023) di Hospital Manjung.

“Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Bagan Tiang untuk proses pengebumian selepas Zohor,” katanya.

Khairul Naim turut menggunakan tanda pagar tragedi bot terbalik di akhir catatannya.

Semalam media melaporkan sembilan individu termasuk tujuh pelancong warga tempatan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Pantai Teluk Batik.

Difahamkan bot rekreasi yang dinaiki dua sekeluarga bersama dua krew itu terbalik kira-kira sembilan meter dari pesisir pantai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon semalam berkata, dua mangsa terpaksa diberikan rawatan kecemasan iaitu seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) dan seorang wanita berusia 34 tahun diberikan bantuan pernafasan (CPR).

Remaja lelaki itu dilapor telah sedar diri sebaik diberikan CPR manakala mangsa wanita tersebut tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital. – AlHijrah Online

Leave a Reply