Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

ISRAEL BEDIL BANGUNAN KEDIAMAN DI TENGAH BEIRUT

DUNIA

ISRAEL BEDIL BANGUNAN KEDIAMAN DI TENGAH BEIRUT

Satu serangan tentera Israel memusnahkan sebuah bangunan pangsapuri di tengah Beirut pada Rabu, lapor media tempatan. Ia merupakan serangan kedua yang menyasarkan pusat bandar ibu negara Lubnan itu sejak perang Asia Barat tercetus.

Sumber: AFP 

BEIRUT: Satu serangan tentera Israel memusnahkan sebuah bangunan pangsapuri di tengah Beirut pada Rabu, lapor media tempatan. Ia merupakan serangan kedua yang menyasarkan pusat bandar ibu negara Lubnan itu sejak perang Asia Barat tercetus.

Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan Lubnan melaporkan bahawa “musuh menyasarkan sebuah pangsapuri di kawasan Aisha Bakkar di tengah Beirut, yang merupakan sebuah kawasan padat penduduk dan terletak berhampiran salah sebuah pusat beli-belah terbesar di bandar itu.

Siaran langsung AFPTV memaparkan bunyi deruman serangan udara yang diikuti dengan letusan bebola api memusnahkan sebuah pangsapuri di dalam sebuah bangunan kediaman bertingkat di Beirut.

Setakat ini, belum ada pengesahan segera mengenai jumlah mangsa yang terlibat.

Wartawan AFP di lokasi kejadian melihat sisa runtuhan dinding di tingkat tujuh dan lapan bangunan tersebut, manakala kenderaan di kawasan sekitar rosak teruk dengan kehadiran pasukan keselamatan yang mengawal tempat kejadian.

“Sewaktu serangan berlaku, saya berlari dari bilik ke bilik, menarik isteri dan anak perempuan saya keluar lalu menyembunyikan mereka di sebalik dinding, sebelum serangan kedua melanda,” kata Fawzi Asmar, pemilik kedai roti di laluan tempat letupan itu berlaku.

Paramedik pertahanan awam, Samer Knio, berkata serpihan kaca dan sisa runtuhan menimpa pasukannya ketika mereka sedang memindahkan mangsa yang maut dan cedera dari tempat kejadian, “namun Tuhan masih melindungi kami.”

Minggu lalu, tentera Israel menyasarkan sebuah hotel di tengah Beirut, dan Iran mendakwa serangan itu telah mengorbankan empat diplomatnya.

Terdahulu pada hari Rabu, satu lagi serangan Israel membedil pinggir selatan Beirut, yang merupakan antara kubu kuat Hizbullah. Sehari sebelum itu, Israel telah mengulangi gesaannya agar penduduk mengosongkan kawasan berkenaan sebelum melancarkan serangan udara.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Lubnan pada Selasa melaporkan bahawa 759,300 orang telah didaftarkan sebagai pelarian, dengan 122,600 mangsa kini berlindung di pusat pemindahan sementara.

Kementerian Kesihatan pada Rabu pula mengesahkan “siri serbuan berterusan yang dilancarkan oleh musuh (Israel)” di bandar Qana, daerah Tyre, meragut lima nyawa dan mencederakan lima yang lain.

Di Hennawiyeh, sebuah lagi kawasan dalam daerah Tyre, kementerian melaporkan pada malam sebelumnya bahawa serangan Israel mencederakan dua individu, manakala serangan susulan membunuh mereka berserta seorang anggota penyelamat yang tiba di lokasi untuk memberi bantuan.

Kementerian turut menambah, satu lagi serangan di Zalaya yang terletak di tenggara negara itu telah mengorbankan satu nyawa.

Lubnan diheret ke kancah peperangan minggu lalu apabila kumpulan Hizbullah menyerang Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam siri serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Israel, yang terus menjadikan Hizbullah sebagai sasaran sebelum perang meletus meskipun wujudnya gencatan senjata pada 2024, kini telah melancarkan serangan di seluruh Lubnan dan menghantar tentera darat masuk ke kawasan sempadan. – AFP

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading