ISRAEL ISYTIHAR DARURAT

TEL AVIV: Israel mengisytiharkan darurat di bandar Lod, tengah Israel, selepas rusuhan berlaku melibatkan penduduk berketurunan Arab akibat konflik antara tentera Rejim Zionis dan pejuang Palestin.
Lapor agensi, seramai 12 orang dilaporkan cedera selain kereta-kereta dibakar dalam rusuhan tersebut.
Dalam situasi yang lain, pejuang Palestin melancarkan beratus-ratus roket ke arah Israel sementara Rejim Zionis melakukan serangan udara di dalam kawasan Gaza.
Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dalam tragedi yang disifatkan terburuk selepas bertahun-tahun itu.
Menurut pejuang Palestin, mereka membedil beratus-ratus roket dan peluru berpandu ke bandar Tel Aviv selepas serangan udara Israel memusnahkan sebuah blok menara di Genting Gaza semalam.
Bagi tentera Israel, pihaknya pula membalas serangan ke atas Baitulmaqdis dan kawasan lain di Israel dengan menyasarkan pejuang-pejuang Palestin di Gaza.
Ketegangan yang berlaku antara dua kumpulan susulan konfrontasi ganas antara polis Israel dengan penunjuk perasaan Palestin di perkarangan Masjid al-Aqsa, pada Jumaat lalu.—AlHijrah Online