Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

JALAN TAR KECOH: PENJAJA BELON TANPA LESEN ENGGAN PATUH TIGA KALI TEGURAN PENGUATKUASA – DBKL

DALAM NEGARA

JALAN TAR KECOH: PENJAJA BELON TANPA LESEN ENGGAN PATUH TIGA KALI TEGURAN PENGUATKUASA – DBKL

Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon itu bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal dengan menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

KUALA LUMPUR: Kekecohan yang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) seperti yang tular videonya malam tadi, berpunca daripada penjaja belon yang enggan mematuhi arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL memaklumkan ketika kejadian, anggota penguat kuasa DBKL mendapati kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen di laluan pejalan kaki di Jalan TAR telah menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan.

“Seperti amalan biasa, DBKL akan memberikan teguran terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil. Penjaja tanpa lesen lain telah memberikan kerjasama dan beredar dari kawasan tersebut.

“Namun begitu, seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon itu bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal dengan menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak untuk menenangkan dan memisahkan penjaja tersebut daripada mengasari petugas penguatkuasa, katanya.

“Situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, DBKL akan menjalankan siasatan lanjut serta mengambil keterangan daripada anggota terlibat selain satu laporan polis telah dibuat oleh penguatkuasa yang terlibat berhubung kejadian itu.

Ujarnya, sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguat kuasaan bagi memastikan sebarang perkara tidak diingini dapat dielakkan.

“DBKL ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum.

Penguatkuasaan adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan dan tidak mempunyai motif perkauman,” jelasnya.

Hari ini tular video insiden pergaduhan melibatkan anggota penguatkuasa DBKL dengan penjaja yang berniaga di Jalan TAR, malam tadi.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading