Connect with us

ALHIJRAH NEWS

“JANGAN HUKUM KAMI”, KISAH HIJRAH DAN HARAPAN SEORANG PLHIV

DALAM NEGARA

“JANGAN HUKUM KAMI”, KISAH HIJRAH DAN HARAPAN SEORANG PLHIV

Namun bagi Syafiq (bukan nama sebenar), hidup dengan HIV bukanlah pengakhiran sebuah takdir, sebaliknya titik mula kepada perjalanan hijrah yang membawanya kembali mengenal erti harapan dan rahmat Allah SWT.

KUALA LUMPUR: Stigma masyarakat sering menjadi tembok paling tebal buat mereka yang mahu bangkit daripada kesilapan lalu.

Namun bagi Syafiq (bukan nama sebenar), hidup dengan HIV bukanlah pengakhiran sebuah takdir, sebaliknya titik mula kepada perjalanan hijrah yang membawanya kembali mengenal erti harapan dan rahmat Allah SWT.

Lelaki itu disahkan menghidap HIV pada tahun 2017 ketika berusia 36 tahun. Ketika itu, keadaan kesihatannya sudah merosot teruk sehingga beliau merasakan dirinya sedang berada di ambang kematian.

Namun menurutnya, kesakitan fizikal bukanlah ujian paling berat yang perlu dihadapi.

Sebaliknya, perasaan malu, takut dihukum masyarakat dan kegagalan menerima takdir menjadi beban yang lebih menyakitkan.

“Saya pergi ke klinik dan buat ujian. Masa itu saya baru tahu saya didiagnosis dengan HIV. Cabaran terbesar adalah memahami takdir Allah. Kalau boleh memilih, tentu kita tidak mahu melalui ujian seperti ini.

“Sampai satu tahap saya rasa biarlah saya mati sahaja. Saya fikir keluarga mungkin tidak akan menerima saya lagi,” katanya ketika ditemui wartawan Berita AlHijrah.

Beliau mengakui hampir enam bulan hidup dalam ketakutan dan stigma sehingga mengabaikan rawatan yang sepatutnya diteruskan.

Dalam tempoh itu, Syafiq sering mempersoalkan masa depannya dan merasakan dirinya sudah tidak mempunyai tempat untuk kembali.

Namun, di tengah-tengah kegelapan tersebut, hatinya tersentuh dengan kisah Nabi Yunus AS yang terus berdoa dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT ketika berada dalam kesusahan.

Peristiwa itu menjadi titik perubahan yang mendorongnya kembali mendekatkan diri kepada agama.

“Perlahan-lahan saya kembali solat dan belajar menerima takdir. Saya juga dapat bertemu semula dengan keluarga.

“Saya tidak sangka dapat mencium pipi ibu saya semula dan berjumpa ayah saya. Walaupun mereka terkejut dengan keadaan saya, mereka tetap menerima saya,” katanya.

Menurut Syafiq, ujian yang dilaluinya mengajar beliau tentang sifat rendah diri dan hakikat bahawa setiap kesukaran yang diberikan Allah SWT mempunyai hikmah tersendiri.

Katanya, sokongan keluarga serta dorongan rakan-rakan untuk terus berdoa dan tidak berputus asa menjadi kekuatan utama dalam meneruskan kehidupan.

Hari ini, HIV bukan lagi musuh yang menghantui dirinya. Sebaliknya, pengalaman tersebut menjadi sumber kekuatan untuk membantu individu lain yang sedang berdepan ujian sama.

Beliau turut menitipkan pesanan agar masyarakat tidak mudah menghakimi kehidupan orang lain kerana kata-kata dan stigma boleh menghumbankan seseorang ke lembah keputusasaan.

“Kita tidak tahu apa yang sedang dilalui oleh seseorang. Kadang-kadang ujian yang datang itu adalah tanda kasih sayang Allah supaya kita kembali kepada-Nya,” katanya.

Sempena Maal Hijrah 1448H, kisah Syafiq menjadi peringatan bahawa hijrah paling sukar bukanlah meninggalkan sebuah tempat, tetapi meninggalkan kegelapan hati untuk kembali percaya kepada rahmat dan kasih sayang Ilahi.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading