JANGAN PANIK ATAU BERTINDAK MELULU DENGAN KEMUNCULAN OMICRON – DG HISHAM

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan untuk tidak panik mahu pun memberi tindak balas melulu susulan kemunculan varian Omicron di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerusi ciapannya di Twitter memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mengumpul maklumat lanjut berkenaan varian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN – TUJUH KONTAK RAPAT KES PERTAMA OMICRON NEGATIF COVID-19 – DG HISHAM

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak daripada jangkitan COVID-19.

ARTIKEL BERKAITAN – MALAYSIA SAHKAN KES PERTAMA VARIAN OMICRON

“Kita belum cukup mengetahui tentang Omicron. Kita tidak seharusnya panik dan bertindak melulu.

“Tetapi (orang ramai) teruskan mengambil semua langkah berjaga-jaga, dapatkan suntikan vaksin serta lakukan ujian saringan sendiri,” kata Noor Hisham dalam ciapannya, hari ini.

KKM jelasnya telah menyediakan sistem perlindungan kesihatan awam yang terbaik bagi kesiapsiagaan serta tindak balas pihaknya dalam sebarang situasi yang berlaku.

Hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan kes pertama varian Omicron telah dikesan di Malaysia.

Kes melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November.—AlHijrah Online

Leave a Reply