Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KABINET LULUS 17 SYOR TAMBAH BAIK KESELAMATAN KLIA, PINTU MASUK ANTARABANGSA

DALAM NEGARA

KABINET LULUS 17 SYOR TAMBAH BAIK KESELAMATAN KLIA, PINTU MASUK ANTARABANGSA

Pelaksanaan keseluruhan syor itu merangkumi tindakan jangka sederhana dan panjang, dengan fasa jangka sederhana memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset serta sumber manusia.

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri meluluskan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa negara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan bersama memaklumkan syor berkenaan terkandung dalam Memorandum Bersama KDN dan MOT yang dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Pelaksanaan keseluruhan syor itu merangkumi tindakan jangka sederhana dan panjang, dengan fasa jangka sederhana memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset serta sumber manusia.

“Fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah segera (Quick Wins), enam tindakan akan diberi keutamaan bagi memperkukuh kawalan keselamatan sedia ada.

Antaranya ialah saringan bersasar berasaskan risiko dengan mempertingkatkan pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.

Turut dilaksanakan ialah e-Vetting dan kawalan akses bagi meneliti serta memperkukuh prosedur tapisan keselamatan terhadap kru penerbangan, pekerja syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad.

Selain itu, saringan dadah terhadap personel penerbangan akan diperkukuh menerusi pelaksanaan saringan prapengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta petugas berkaitan.

Tiga lagi tindakan segera ialah meningkatkan kehadiran nyata pasukan keselamatan, memperkukuh penyelarasan dan perkongsian maklumat keselamatan serta menubuhkan Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT.

“Enam langkah segera ini merupakan keutamaan pelaksanaan dalam fasa jangka pendek dan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh yang dirangka bagi memperkukuh integriti kawalan keselamatan di KLIA dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara.

“Pelan tindakan ini dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.

“Ia termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah serta beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi yang memerlukan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem kawalan di pintu masuk negara,” menurut kenyataan itu.

KDN dan MOT memaklumkan KLIA akan menjadi lokasi perintis bagi pelaksanaan pelan berkenaan sebelum diperluas secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.

“Kerajaan melalui KDN dan MOT komited memastikan setiap syor dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan antarabangsa.

“Langkah ini akan memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan integriti pintu masuk antarabangsa serta mengekalkan keyakinan rakyat, pelancong dan komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara telah diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera.

Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat negara ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia bersama kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, baru-baru ini.

— AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading