KAILAN IKAN MASIN RM18: PEMILIK RESTORAN BERI PENJELASAN

KEPALA BATAS: Pemilik restoran makanan di Kepala Batas, yang didakwa menjual sebungkus sayur kailan ikan masin pada harga RM18 tampil membuat penjelasan mengenai harga yang dikatakan tidak setara dengan kuantiti.

Menurut laman Facebook milik restoran berkenaan, insiden mungkin berlaku akibat salah faham yang tidak disengajakan daripada pihak restoran sewaktu menyediakan hidangan pelanggan.

Menerusi hantaran itu, pihak restoran berkenaan turut memberi penjelasan mengenai harga masakan kailan ikan masin mengikut saiz iaitu S berharga RM6, M RM12 dan L RM18 dengan memaparkan gambar menu restoran.

“Kesilapan mungkin berlaku sewaktu juruwang memasukkan harga pesanan hidangan bersaiz besar (L).

“Atau mungkin pesanan dibuat bersaiz besar tetapi pekerja bahagian dapur telah menyediakan hidangan tersebut bersaiz kecil (berdasarkan gambar yang tular),” jelas restoran tersebut.

Sementara itu, pemilik restoran berkata, pelanggan yang berdepan dengan isu tersebut sepatutnya tampil bertemu dengan mereka secara terus dan tidak memuat naik di laman media sosial sehingga menjadi tular.

Semalam, seorang pelanggan di Pulau Pinang mendakwa telah membeli sebungkus kailan ikan masin bagi seorang makan pada berharga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas.

Tanpa mendedahkan nama restoran terbabit pelanggan tersebut berkongsi pengalamannya di media sosial apabila memuat naik gambar resit serta bungkusan sayur kailan ikan masin yang didakwa terlalu mahal dan tidak setara dengan kuantiti.

Resit berkenaan turut memaparkan harga lauk jenahak RM90, sayur campur (RM9) serta ulan dan sambal (RM5) dengan nilai keseluruhan RM122.

Perkongsian pelanggan tersebut mendapat perhatian ramai sehingga tular di laman sosial hari ini yang rata-rata mendakwa harga tersebut mahal. – AlHijrah Online

Leave a Reply