PENGGUNA MENGADU ROTI CANAI RM4 DI LANGKAWI

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima aduan daripada pengguna berhubung harga sekeping roti canai yang dijual pada harga RM4 di Pulau Langkawi.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, harga itu tidak masuk akal kerana berdasarkan maklumat daripada pengguna, roti canai itu hanya dijual di tepi jalan.

Sehubungan itu Mohd Yusrizal meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan pemeriksaan di setiap gerai atau premis kedai makan yang didapati menaikkan harga yang tinggi.

Selain itu katanya, peniaga kedai makan juga perlu meletakkan tanda harga untuk setiap makanan bagi membolehkan pengguna membuat pilihan sebelum membuat pesanan.

Katanya, jika didapati peniaga mengenakan harga yang tidak munasabah dan terlalu mahal, pengguna perlu menyimpan resit dan membuat aduan bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad, berkata pihaknya belum menerima aduan berkaitan kenaikan harga sekeping roti canai dijual pada harga RM4.

Bagaimanapun pihak KPDNHEP telah menggerakkan pegawai dan anggota penguatkuasa menerusi “Op Menu” bagi melakukan pemeriksaan di restoran dan kedai makan di seluruh negeri.

Jelas beliau, operasi ini dijalankan bermula 6 November tertumpu kepada aduan orang awam berlakunya kenaikan harga makanan.

Katanya, menerusi pemeriksaan ini KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap harga makanan dan minuman serta alat penimbang di restoran yang menjual makanan laut. – AlHijrah Online

Leave a Reply