KALIMAH KELUAR ISLAM ATAU MURTAD BUKAN PERKARA GURAUAN

PUTRAJAYA: Umat Islam dinasihatkan untuk tidak mempersenda atau bergurau berhubung kalimah keluar Islam atau murtad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perkara itu perlu dipandang serius kerana ia merupakan tunjang kepada pegangan agama Islam.

“Kalimah utk keluar Islam atau murtad bukanlah kalimah yg boleh dibuat gurauan. Tetapi kita hendaklah merasa mulia apabila kita beragama Islam.

“Dengan syahadah yang kita lafazkan ikrar yang kita janjikan. Perkara ini perlu dipandang serius” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan JAWI Foodbank di Putrajaya hari ini.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas video tular baru-baru ini melibatkan usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang membuat luahan seolah-olah mahu keluar dari Islam.

Pun begitu tidak dapat dipastikan tarikh sebenar video itu dimuat naik.

Muhammad Sajjad ketika ini diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana gagal hadir prosiding melibatkan kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.

Serbuan telah dilakukan oleh pihak JAIS dengan bantuan polis namun dia gagal ditemui dan disyaki bersembunyi di lokasi lain. — AlHijrah Online

Leave a Reply