“KAMU TIADA HATI” – ISTERI PRAMUGARA MH370 KEPADA JOCELYN CHIA

KUALA LUMPUR: Kecaman terus dilontarkan terhadap pelawak asal Singapura, Jocelyn Chia susulan tindakannya memperlekeh Malaysia dan kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 pada 2014 menerusi satu video di pentas komedi yang tular baru-baru ini.

Dalam satu muat naik di Instagram, Intan Maizura Othaman yang juga isteri kepada salah seorang pramugara MH370 yang hilang, menyifatkan tindak tanduk pelawak berkenaan jelas menggambarkan bahawa wanita itu tiada empati, kerana tidak ada hati dan mungkin tidak memiliki keluarga.

“Kamu tahu tak betapa ramainya ibu yang masih menangis hingga hari ini? Oh tidak, kamu tidak tahu kerana kamu tiada empati, kerana kamu tiada hati, atau mungkin kamu tidak ada keluarga.

“Jika kamu ada keluarga pun, pasti mereka akan malu kerana dengan lawak bodoh kamu.

“Mempunyai hati, biar pun tinggal di sebuah negara membangun adalah jauh lebih baik berbanding kamu di sebuah negara yang dikatakan maju tetapi menjadi orang yang keji,” kata Intan Maizura dengan nada terkilan, di laman sosial Instagramnya.

Kata Intan Maizura lagi, Jocelyn tidak wajar membuat jenaka sedemikian, semata-semata untuk mendapat pengiktirafan daripada orang ramai.

“Anak lelaki saya, Muhammad masih menangis hingga hari ini susulan kehilangan bapanya, dan kamu di sini tergamak (berani) menjadikan MH370 sebagai bahan jenaka,” memetik kata-kata Intan Maizura dalam video berkenaan.

Setakat petang Jumaat, video yang dimuat naik Intan Maizura telah dimainkan sebanyak lebih 137 ribu kali di laman Instagram, dengan hampir 350 komen menyokong apa yang dikatakan wanita berkenaan.

Intan Maizura, 43 tahun adalah isteri kepada pramugara, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, salah seorang daripada 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Ketika insiden yang menggemparkan dunia itu, Intan Maizura sedang hamil anak kedua (Muhammad). Manakala kakak kepada Muhammad adalah Iman, kini berusia 14 tahun, hasil perkahwinannya dengan Mohd Hazrin. – Alhijrah Online

Leave a Reply