KANAK-KANAK 4 TAHUN LEMAS DALAM KOLAM RENANG, ABANG TIRI DIBERKAS 

KAJANG: Seorang lelaki ditahan bagi membantu kes kanak-kanak perempuan berusia empat tahun lemas dalam kolam renang di sebuah apartment di Bangi, pada 13 Sept lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang merupakan abang tiri mangsa berusia 26 tahun itu diberkas pada Ahad selepas penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang baru dapat diakses.

“Penelitian yang dijalankan berdasarkan CCTV tersebut mendapati ketika kejadian, suspek yang merupakan abang tiri mangsa turut berada di lokasi.

“Suspek dilihat sedang leka melakukan sesuatu sambil melihat sahaja mangsa yang sedang lemas tanpa bertindak melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Siasatan mendapati pada kira-kira 3 petang, mangsa maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di apartment tersebut sebelum dibawa ke klinik dan kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang bagi rawatan lanjut.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang pada 14 Sept selepas mendapatkan rawatan dan kes awalnya diklasifikasikan kematian mengejut,” katanya.

Suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 IPD Kajang bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian, katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes, Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 bagi membantu siasatan.–AlHijrah Online

Leave a Reply