KARTEL DAGING: TIGA PEGAWAI MAQIS DITAHAN REMAN

JOHOR BAHRU: Tiga pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) direman selama lima hari bermula hari ini, kerana disyaki terlibat rasuah berhubung kemasukan daging beku yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Veterinar Malaysia.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nur Fathiah Mohd Fedzir di Mahkamah Majistret Johor Bahru, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 40, 44 dan 55 tahun.

“Mereka ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 7 malam tadi selepas hadir untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan kompleks mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM.

Semalam SPRM Johor berjaya menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru sebelum suspek direman selama enam hari bermula Isnin.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, SPRM menerusi kenyataan dikeluarkan pada Isnin memberitahu sudah menahan seramai lapan suspek sejak 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.

Menurut SPRM, seramai 27 saksi telah dipanggil dalam siasatan kes berkenaan terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen.–AlHijrah Online

Leave a Reply