KEBENARAN IBADAH UMRAH AKAN DIBAWA KE KABINET – AHMAD MARZUK

KUALA LUMPUR: Bermula 1 November ini, Arab Saudi akan membenarkan umat Islam dari luar negara itu untuk mengerjakan ibadah umrah.

Oleh yang demikian kebenaran menunaikan ibadah itu membabitkan jemaah Malaysia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat untuk dibincangkan.

Lapor Berita Harian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata setakat ini belum ada keputusan rasmi sama ada kebenaran akan diberikan kepada jemaah Malaysia mengerjakan umrah dan haji tahun depan atau sebaliknya.

“Bagi ibadat umrah, belum ada keputusan sehingga dibawa ke kabinet dalam masa terdekat. Walaupun Arab Saudi membuka pintu bagi jemaah luar negara mulai 1 November, itu tidak bermakna kita juga akan menghantar jemaah.

“Kita akan beri keutamaan kepada keselamatan rakyat,” katanya kepada Berita Harian.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan mengerjakan umrah apabila Arab Saudi membenarkan ibadah itu kembali dilaksanakan, antara perkara yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi Malaysia-Arab Saudi.

Selain itu Zulkifli memaklumkan, perbincangan jawatankuasa itu turut meliputi kuota haji tahun depan untuk rakyat negara ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply