KEMASKINI, DAFTAR BANTUAN PRIHATIN RAKYAT DILANJUTKAN SEHINGGA 25 FEBRUARI

KUALA LUMPUR: Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dilanjutkan sehingga 25 Februari 2021, yang sebelum ini dibuka dari 15 Januari hingga 15 Februari 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lanjutan tersebut dapat memastikan BPR diterima oleh mereka yang benar-benar layak, serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini.

“Hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantua Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40, serta isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu.

“Ini termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, proses pendaftaran baharu/kemas kini ini, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk diverifikasi semula.

Bagi penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemas kini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat.

Tengku Zafrul memaklumkan bahawa Fasa 1 BPR akan dipercepatkan kepada penghujung Februari ini seperti yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Januari lepas, manakala bayaran Fasa 2 pula dijangka dibuat awal Mei. 

“Setakat ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  menerima hampir 550,000 permohonan baharu yang perlu diverifikasi dan disemak silang di dalam sistem.

“Proses itu turut melibatkan 25 agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan LHDN untuk memastikan hanya yang layak diluluskan untuk BPR,” katanya.

Pemohon BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.–AlHijrah Online

Leave a Reply