
KUALA PILAH: Dua remaja lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di asrama sebuah sekolah menengah, bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kedua-duanya didakwa secara bersama menyebabkan kematian mangsa berusia 14 tahun antara jam 7.30 malam hingga 8.30 malam di asrama sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah pada 25 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 304 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung hendaklah dikenakan sebatan tidak melebihi 12 kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.
Mahkamah menetapkan 7 Disember depan bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, Hanif ketika ditemui pemberita berkata, pihak pembelaan memohon mahkamah mengeluarkan arahan supaya kedua-dua tertuduh diberikan perkhidmatan kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, intervensi kaunseling penting bagi membantu menjaga kesihatan mental dan emosi kedua-dua remaja itu sepanjang ditempatkan di pusat koreksional sementara menunggu tarikh sebutan semula kes, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam kejadian pada 25 September lalu, mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, polis merekodkan 69 keterangan dalam siasatan kes berkenaan selain lima pelajar tampil mendakwa pernah dibuli oleh seorang daripada dua remaja terbabit. — AlHijrah Online