Kempen pemilikan rumah (HOC) 2019 tawar diskaun 10 peratus

PETALING JAYA – Diskaun 10 peratus diberikan kepada setiap pembelian rumah baru dan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah berharga RM1 juta ke bawah bermula Januari hingga Jun tahun ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif ini hasil pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan dalam usaha mengatasi masalah kenaikan harga rumah dan hartanah yang tidak terjual.Â
Katanya lagi, pihak pemaju bersetuju memberi tawaran ini dalam usaha mengurangkan harga rumah dan mengurus jumlah rumah yang tidak terjual.
Tambah beliau, sepanjang Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019Â yang bermula Januari, duti setem dikecualikan untuk rumah berharga bawah RM1 juta manakala rumah berharga dari RM1,000,001 hingga RM2.5 juta dikenakan tiga peratus daripada bayaran duti setem .
Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan (REHDA) dengan kerjasama Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan ekspo hartanah sepanjang kempen HOC di seluruh negara bagi menjual lebih 22,000 unit rumah yang tidak terjual.
Dianggarkan lebih 100 pemaju akan mengambil bahagian dalam ekspo ini yang membabitkan penjualan rumah bernilai RM5 billion.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, KN Jayaselan berkata pemaju dibenarkan menawarkan perabot percuma seperti kabinet dapur dan perkakas elektrik bagi menarik minat pelanggan.
Tambahnya, setakat ini terdapat 3,384 unit rumah bernilai RM 150,000 di seluruh negara yang akan dijual dalam HOC 2019.