
KUALA BERANG: Kemunculan seekor harimau kumbang di sekitar Pengkalan Gawi, dekat Tasik Kenyir, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pekerja di kawasan berkenaan.
Seorang pekerja stesen minyak, Khairul Afzan Hakimi Abdullah, 40, berkata beliau melihat kelibat haiwan liar itu ketika sedang bekerja pada malam Sabtu lalu, menyebabkan beliau kini memilih untuk berulang-alik menggunakan kereta berbanding motosikal atas faktor keselamatan.
“Saya lihat harimau itu merayau-rayau kira-kira 10 meter dari stesen minyak. Perasaan berdebar dan takut memang tidak dapat dibayangkan tetapi ia tidak bertindak agresif sebelum berlalu pergi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Khairul Afzan, yang berulang-alik sejauh lima kilometer ke tempat kerja, berkata kejadian itu merupakan pengalaman pertamanya melihat harimau kumbang sejak empat tahun bekerja di stesen minyak berkenaan.
Seorang lagi pekerja kedai makan, Abdul Ghani Rahman, 50, turut mendakwa terserempak dengan haiwan itu ketika pulang bekerja bersama rakannya pada Ahad lalu.
“Selepas video (rakaman haiwan itu) tular, anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) datang mendapatkan maklumat daripada orang di sini. Menurut maklumat, haiwan itu mungkin tersesat sebelum kembali ke habitat asal,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 20 saat yang memaparkan seekor harimau kumbang sedang berehat di tepi jalan utama di Tasik Kenyir. — AlHijrah Online.