KEPALA AIR BERLAKU LAGI DI SUNGAI IBOI

BALING: Penduduk Kampung Iboi dekat Kupang dikejutkan sekali lagi dengan kejadian kepala air dari Gunung Inas, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang mencetuskan panik apabila air deras turut melimpah ke atas Jambatan Bailey.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hujan lebat hampir satu jam mengakibatkan air mengalir dengan laju.

Namun katanya, kejadian kali ini tidak seperti kejadian kepala air dan banjir lumpur yang berlaku pada 4 Julai lalu yang membawa bongkahan kayu dan ranting pokok.

Ketika kejadian petang tadi tiga mangsa dari satu keluarga yang tinggal berhampiran sungai telah diarahkan keluar dari rumah untuk keselamatan.

Menurut Shamsudin, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) diletakkan bagi memantau keadaan air dan penduduk.

Beliau mengingatkan orang awam supaya tidak berada dekat dengan tebing sungai kerana boleh membahayakan keselamatan mereka.

“Orang ramai tidak digalakkan berhenti dan mengambil gambar di tebing sungai untuk tengok air melimpah.

“Kita bimbang berlaku kejadian tidak diingini yang membahayakan nyawa mereka,” katanya.

Kejadian kepala air dan banjir lumpur pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa dari satu keluarga.

Ia juga mengakibatkan sejumlah rumah dihanyutkan arus dan sejumlah besar terjejas akibat dimasuki air dan lumpur. – AlHijrah Online

Leave a Reply