UNDANG-UNDANG LARANG LOMPAT PARTI DILULUS DEWAN RAKYAT

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan), Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) serta Menteri Kanan Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) meninggalkan dewan setelah persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. — Bernama

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata 11 Ahli Parlimen tidak hadir.

“Syabas kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mencipta sejarah hari ini,” katanya.

Pindaan itu dibahaskan 54 Ahli Parlimen selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkannya untuk bacaan kali kedua kira-kira 11.30 pagi, semalam.

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti. – AlHijrah Online

Leave a Reply