KEPERLUAN, KEBAJIKAN PENGUAT KUASA AGAMA & PENDAKWA SYARIE DILIHAT LEBIH DEKAT

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diminta untuk melihat dengan lebih dekat keperluan tugasan serta kebajikan penguat kuasa agama dan pendakwa syarie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, ia termasuklah pertimbangan dalam aspek pemangkuan dan kenaikan pangkat di pelbagai gred.

“Perkara ini amat penting dalam usaha memartabatkan institusi penguatkuasaan dan pendakwaan syariah di negara ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2022 di Bangi.

Menurut Idris, tugas sebagai penguat kuasa agama dan pendakwa syarie adalah berat serta berisiko malah menempuh pelbagai ujian seperti cacian makian, suspek atau saksi tidak mahu bekerjasama, melarikan diri dari tempat kejadian.

Malah katanya ada pegawai yang menerima ancaman dan ugutan, disaman, kes ditolak, kes dibawa ke Mahkamah Sivil, dan lain-lain.

“Namun saya percaya, semua pegawai di hadapan saya ini berjiwa pejuang. Daya juang tinggi serta tahan lasak fizikal dan mental.

“Ugutan dan ancaman, sedikit pun tidak akan melemahkan daya juang kita,” katanya.

Tambah Idris, sebagai menteri yang diamanahkan memimpin hal ehwal agama, beliau dengan sepenuh hati akan sentiasa melihat dan membantu penguat kuasa agama dan pendakwa syarie pada setiap masa.

Dalam pada itu, Idris juga memaklumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dinamakan sebagai SOP Mengiringi Orang Yang Ditangkap ke Mahkamah atau Tempat Tahanan akan dilancarkan dalam konvensyen tersebut.

SOP itu diharap dapat dijadikan panduan dan rujukan oleh semua pegawai penguat kuasa agama dan lain-lain agensi penguatkuasaan Syariah.

Beliau juga mengesyorkan JAKIM menyediakan garis panduan pemakaian pakaian seragam oleh pegawai penguat kuasa agama negeri dengan pembiayaan pakaian seragam tersebut dicadangkan dibiayai oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Katanya pakaian seragam merupakan lambang kekuatan dan disiplin bagi anggota penguatkuasa sebagai pasukan yang melaksanakan undang-undang penguatkuasaan dan pencegahan. – AlHijrah Online

Leave a Reply