
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan baki 25 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang masih belum dilaksanakan bagi terus memperkukuh institusi itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pelaksanaan syor berkenaan akan dibuat dengan mengambil kira aspek kebijaksanaan, realiti semasa serta pertimbangan yang berkaitan.
“Ada banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk memastikan institusi yang kita sayangi ini terus terbang tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI), hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 75 peratus daripada 25 syor yang dikemukakan RCI telah dilaksanakan, sekali gus meletakkan TH di landasan tepat dalam pengurusan deposit dan operasi haji sehingga menerima Diamond Award bagi pengurusan haji terbaik dunia pada musim haji 1447H/2026M.
Mengulas syor supaya struktur tadbir urus TH disusun semula, Zulkifli berkata kerajaan terbuka mempertimbangkan cadangan itu, termasuk mengasingkan tanggungjawab pengurusan kewangan, dana dan pelaburan di bawah Menteri Kewangan.
Syor mengehadkan bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada pengurusan haji merupakan antara cadangan yang terkandung dalam Laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan semalam.
Laporan setebal 211 halaman itu diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mengandungi pelbagai syor penambahbaikan terhadap pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020. — AlHijrah Online